Abdul Rahman Bin Auf bin Abdul Harith bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah
bin Kaab bin Luayyi Al Quraisyi Az Zuhri lahir 10 tahun selepas tahun
gajah dan membesar sebagai seorang pemuda yang teguh peribadi dan
memiliki karismatik yang berkualiti.
Beliau mendapat pendidikan awal dengan sifat berani, tegas,
toleransi, zuhud dan dermawan. Selain menjadi ahli ekonomi yang
berwibawa dan amanah, beliau merupakan antara sepuluh orang sahabat yang
dijamin syurga dan salah seorang dari 6 anggota mesyuarat untuk memilih
khalifah selepas wafatnya Al Farouk rha.
Beliau wafat pada tahun 31 hijriyyah dalam usia 73 tahun dan di maqamkan di Baqi'
Sebelum Islam
Menjauhi penyembahan berhala, maksiat dan mungkar.
Persekitaran hidup dalam keluarga mulia dan bermaruah.
Selepas Islam
Orang yang kelapan memeluk agama Islam.
Menyertai program perkaderan di Darul Arqam.
Melakukan hijrah ke Habsyah sebanyak dua kali dan akhirnya ke Madinah Al Munawwarah.
Menyertai semua peperangan yang disertai oleh Rasulullah
Jati Diri Yang Kental
Abdul Rahman bin Auf telah dipersaudarakan oleh Rasulullah saw dengan
Saad Ibnu Rabi'e seorang bangsawan dan jutawan Madinah (Al Ansar).
Namun beliau tidak mengambil kesempatan dan peluang untuk memboloti
harta kekayaan saudaranya sekalipun beliau mendapat tawaran yang lumayan
termasuklah memilih salah seorang daripada isteri saudaranya.
Sebaliknya beliau meminta Saad menunjukkan kepadanya dimanakah pasar
dan beliau memulakan perniagaan dipasar tersebut dengan keringat dan
semangat berdikari yang gigih.
Berdikari
Prinsip berdikari yang dimiliki oleh Abdur Rahman bin Auf menjadi
formula asas kejayaan dan kecemerlangan beliau. Berdikari adalah tanda
harga diri individu yang bermaruah dan bebas dari hidup bergantung
dengan orang lain. Prinsip inilah juga yang diajar oleh Rasulullah saw.
buat semua ummat bagi membina tamadun yang cemerlang.
Sabda Rasulullah saw.:
"Tiada sesuatu makanan yang baik melebihi apa yang dihasilkan dari
usahanya sendiri. Nabi Allah Daud makan dari hasil usahanya sendiri." -
Riwayat Bukhari
Amanah
Kecemerlangan yang diperolehi dalam perniagaannya juga banyak
bergantung kepada sifatnya yang amanah, sifat inilah meletakkan beliau
sebagai usahawan yang berjaya dan beliau juga antara sahabat yang paling
kaya di Madinah.
Rasulullah saw. pernah menyebut:
"Engkau adalah yang dipercaya(amanah) dikalangan penghuni langit dan
engkau jugalah yang dipercaya (amanah) dikalangan penghuni bumi."
Taat
Peribadinya yang soleh dan taat kepada Allah swt pula menjadi modal
utama yang menjana kemajuan gemilang dalam kerjayanya sebagai seorang
ahli ekonomi dan usahawan. Peribadi ini diiktiraf oleh baginda Rasul saw
dengan sabdanya:
"Tidak dicabut roh seseorang Nabi sehingga ia sembahyang di belakang seorang lelaki yang soleh dari ummatnya."
Pengurusan Ekonomi Berorientasikan Kebajikan
Kejayaan gemilang yang dicapai oleh Abdul Rahman bin Auf Rha. tidak
menjadikan beliau lupa daratan dan menyeleweng dari manhaj Rabbani.
Sebaliknya beliau menangani kekayaannya dengan menabur bakti kepada
agama, perjuangan dan ummah.
Dikeluarkan oleh Abu Nuaim di dalam kitab Al Hilyah daripada Az Zuhri katanya:
"Abdul Rahman bin Auf telah bersedeqah di zaman Rasulullah saw.
setengah dari hartanya yang berjumlah Empat Ribu Dirham kemudian beliau
mengorbankan 40 Ribu Dirham, 500 kuda di jalan Allah swt. diikuti pula
1500 ekor unta di jalan Allah swt. Kesemua harta itu adalah hasil
perniagaannya."
Dermawan
Sikap inilah (dermawan) yang dicerminkan oleh Al-Quranul Karim
sebagai sikap orang–orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah swt.
"Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan
kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang
kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya
Allah mengetahuinya." (Surah Ali Imraan, 92)
Kikir dan bakhil adalah merupakan sifat tercela yang merosakkan hubungan damai dan harmoni sesama muslim.
"(Ingatlah), kamu ini adalah orang-orang yang bertabiat demikian-kamu
diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit dari harta benda kamu
pada jalan Allah, maka ada di antara kamu yang berlaku bakhil, padahal
sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya ia hanyalah berlaku bakhil
kepada dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat
kepada sesuatupun), sedang kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa
berhajat kepadaNya dalam segala hal). Dan jika kamu berpaling (daripada
beriman, bertaqwa dan berderma) Ia akan menggantikan kamu dengan kaum
yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu."
(Surah Muhammad 38)
Sementara tamak haloba pula memusnahkan asas kebajikan malah
mendorong permusuhan dan hasad dengki yang membantutkan perkembangan
ekonomi ummah.
Membelanjakan Harta Demi Keredaan Allah
Dikeluarkan oleh Ahmad daripada Anas rha. katanya: "Tatkala Aisyah
rha. berada di dalam rumahnya, beliau telah mendengar satu suara di
Madinah. Beliau bertanya "Apakah yang telah terjadi? Kaum muslimin
menjawab: "Kafilah Abdul Rahman bin Auf terdiri dari 7 ratus unta."
Maka bergemalah Madinah dengan teriakan suara tersebut. Aisyah rha.
berkata aku telah mendengar Rasulullah saw. bersabda: Aku melihat Abdul
Rahman masuk kedalam syurga dengan merangkak. Apabila kata–kata nabi
tersebut sampai ke pengetahuan Abdul Rahman bin Auf lalu beliau berkata:
Jika aku mampu, aku akan masuk syurga itu dalam keadaan berdiri.
Lalu beliau menyerahkan kesemua unta tersebut di jalan Allah swt.
Dikeluarkan oleh Abu Nuaim di dalam kitabnya Al Hilyah.
Peristiwa ini jelas mengisyaratkan bahawa Abdul Rahman bin Auf
sekalipun dilimpahi harta kekayaan dalam hidupnya tetapi tidak sampai ia
menjadi hamba kepada harta, malah juga tidak mampu untuk melalaikan
beliau daripada mengingati Allah swt.
Situasi ini menunjukkan beliau menguasai harta bukan harta menguasai
beliau. Kedudukkan seperti inilah yang menjadikan seorang usahawan benar
– benar merdeka dan bebas dari belenggu fikrah maadiyyah.
Bahaya Fikrah Maadiyaah (Kebendaan)
Pengidap faham maadiyyah ini sangat merbahaya dan membawa virus yang
sangat sukar untuk dirawat. Mereka yang terpengaruh dengan faham
maadiyyah hanya memikirkan soal dunia, duit dan hidup semata – mata.
Mereka tidak memikirkan bagaimana dosa, pahala, syurga, neraka dan
akhirat. Ini menjadikan mereka petualang yang hanya mementingkan diri
sendiri, kekayaan dan kemewahan dengan tidak memperduli bagaimana cara
memperolehinya, samaada cara yang halal atau haram, baik atau buruk, hak
atau bathil, adil atau zalim, benar atau bohong, amanah atau khianat.
Apa yang lebih parah, golongan ini akan menjadi cinta dunia dan benci
kepada mati. Jika seorang usahawan bersikap seperti ini bukan sahaja
tidak mendapat berkat dan rahmat dalam projek atau perniagaan mereka,
malah mereka dimurkai oleh Allah swt.
"Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan menemui
Kami (pada hari akhirat untuk menerima balasan), dan yang reda
(berpuashati) dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang
tenteram dengannya, dan orang-orang yang tidak mengindahkan ayat-ayat
(keterangan dan tanda-tanda kekuasasaan) Kami, -Mereka yang demikian
keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah neraka;
disebabkan keingkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan."
(Surah Yunus 7–8)
Renungi ungkapan ulama' sufi terkenal Abu Sulaiman Ad Darani:
Jika akhirat memenuhi ruang hati, maka dunia tetap datang
mendampinginya, namun tatkala dunia yang memenuhi ruang hati, maka
akhirat akan menyisih, kerana sesungguhnya akhirat adalah suatu yang
mulia sedang dunia adalah suatu yang keji.
Islam tidak melarang ummatnya mencari harta dan memiliki kekayaan,
malah mengajar ummatnya mencari harta dengan kaedah yang betul. Lihat
lah bagaimana sahabat karib Baginda Rasul saw. seperti Abdul Rahman bin
Auf mencari harta dan memiliki kekayaan.
"Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka
bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang
kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah
banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya / untung (di
dunia dan di akhirat)." (Surah Al Jumua'h: 10)
Kebendaan merupakan sebahagian daripada alat kelengkapan dan
berfungsi sebagai alat bantu kekuatan. Justeru itu Islam memberi ruang
selesa kepada ummatnya berdikari dan mengusahakan hasil bumi.
Namun begitu, kebendaan yang diusahakan dan kekayaan yang dicita,
bukan menjadi prinsip hidup yang mencetus faham kebendaan, segalanya
sebagai sarana untuk menjulang syiar Agama Allah swt. bukan sebaliknya,
iaitu menjadi hamba kepada benda dan kekayaan.
Kebendaan dan kekayaan diperlukan agar ummat Islam tidak bangsat dan
hina di mata dunia, pula dalam masa yang sama, ia tidak sampai membawa
ummat Islam keperingkat ego dan bongkak.
Usahawan Yang Takut Kepada Allah Dan Manangisi Kemewahan Dunia
Dikeluarkan oleh Abu Nuaim didalam kitab Al-Hilyah daripada Naufal
bin Ilyas Al–Hazili katanya: Abdul Rahman bin Auf rha. sering duduk
bersama–sama dengan kami. Beliau adalah sebaik–baik orang apabila duduk
bersama–sama dengan kami, suatu hari beliau telah meninggalkan kami dan
tidak bersua dengan kami lalu kami pun masuk menemuinya di rumahnya.
Beliau telah kembali ke rumahnya dan mandi, lalu kami
menghidangkannya satu dulang roti dan daging. Apabila makanan tersebut
dihidangkan dihadapannya, beliau pun menangis.
Kami bertanya kepadanya, "Wahai bapa Muhammad, apakah yang menyebabkan kamu menangis?"
Beliau menjawab: "Rasulullah saw. telah meninggal dunia dalam keadaan
beliau dan ahli keluarga beliau tidak pernah kenyang dengan makanan
yang terdiri dari roti gandum."
Aku berpendapat, kita ketinggalan kebelakang dari apa yang lebih baik bagi kita.
(Dikeluarkan oleh Tarmizi dan As Siraj daripada Naufal dan seumpama dengannya sebagaimana dalam Isobah.)
Kezuhudan Abdul Rahman bin Auf rha. ini sangat menyerlah, bukan
sahaja melalui peribadi dan aksinya bahkan sikap dan prinsip beliau.
Inilah yang menjadikan beliau sebagai seorang usahawan yang amat
disenangi oleh penghuni dibumi dan juga penghuni dilangit. Beliau
dijamin syurga oleh Baginda Rasul saw.
No comments:
Post a Comment